Oleh: Nordiana Shafiee
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil
UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universitas Muhammadiyah Jakarta (UMJ), Indonesia mencapai kesepakatan untuk beralih dari pemeteraian surat kerjasama (LoC) kepada memorandum persefahaman (MoU) dengan segera bagi menjayakan agenda kerjasama antara kedua pihak.
Hasrat tersebut disampaikan Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah kepada Rektor UMJ, Dr. Ma’mun Murod pada lawatan akademik delegasi UMJ ke UUM, semalam.
Haim Hilman berkata, pertemuan itu menjadi titik tolak bagi jalinan kerjasama strategik antara UUM dan UMJ dalam pelbagai bidang mengikut kepakaran dimiliki kedua institusi pengajian tinggi ini.
“UUM melihat ke hadapan agar LoC yang dimeterai sebelum ini dapat bertukar menjadi MoU agar lebih banyak kerjasama yang boleh diusahakan lagi.
“Antara peluang kolaborasi yang berpotensi untuk diketengahkan adalah program pertukaran pelajar UMJ ke UUM dan sebaliknya, penempatan staf atau pensyarah UMJ ke UUM bagi tujuan latihan dan pembelajaran yang memfokuskan kepada pengurusan akreditasi dan agenda ranking serta pemantapan penguasaan bahasa Inggeris.
“UUM juga mempunyai program ‘mentoring’ yang mana kita bersedia untuk membimbing golongan pensyarah atau ‘dosen’ UMJ untuk menulis artikel sehingga berjaya diterbitkan di dalam SCOPUS.
“Di samping itu, kita mengalu-alukan dosen UMJ untuk melanjutkan pengajian di UUM di peringkat S3, malah kita sedia menawarkan biasiswa sekiranya berkelayakan kepada mereka yang berminat,” katanya.
Selain itu, Haim Hilman juga menawarkan kerjasama dalam bidang penyelidikan bagi tempoh jangka masa panjang dengan melibatkan pusat pengajian tertentu mengikut kepakaran dengan hala tuju yang jelas.
Beliau turut mencadangkan agar diadakan konferensi bersama yang dianjurkan secara dwitahunan, penganjuran ‘lectures series’, debat atau forum melibatkan pelajar UUM dan UMJ, tawaran kursus jangka pendek atau program eksekutif untuk warga UMJ atau warga kerja di Indonesia serta kerjasama dalam program ijazah berganda yang boleh diperhalusi kaedah pelaksanaannya.
“Saya berharap pelaksanaan agenda yang dibincangkan ini dapat disegerakan selewatnya bermula menjelang Januari 2023.
“Menjadi harapan saya agar UMJ dapat membantu UUM dalam pelaksanaan program dan pembangunan yang dihasratkan mengikut kepakaran yang ada di universiti masing-masing,” ujar beliau.
Sementara itu, Ma’mon berkata, pertemuan hari ini (semalam) mencetuskan banyak idea dan agenda yang boleh dilaksanakan secara bersama.
Ujar beliau, UMJ akan menjadi mentor kepada Universitas Muhammadiyah (UM) lain dalam pelaksanaan kerjasama dengan UUM ini, malah beliau juga berharap MoU dapat dimeterai dengan kadar segera, justeru satu perbincangan khusus akan diadakan lagi selepas ini.
Pada pertemuan itu, Ma’mun menyatakan kesudian dan bersetuju dengan cadangan dan tawaran kerjasama dikemukakan Naib Canselor kerana ia dilihat sebagai satu peluang yang sangat bagus.
“Terutamanya untuk menaikkan nama UMJ dalam agenda ranking meskipun usia UUM lebih muda dari UMJ, tetapi kami sedia untuk belajar dari universiti ini.
“Kita juga akan membantu uar-uar tentang UUM pada forum UM Indonesia yang bakal diadakan kelak agar lebih ramai tertarik untuk bekerjasama,” katanya.