Oleh: Anith Raihana Zahari
Gambar CIAC/UUM Today
LANGKAWI: Seramai 22 pelajar antarabangsa terdiri daripada pelajar International Student Society (ISS) dan juga pelajar mobiliti (Inbound) telah menyertai program ‘CIAC-Restore The Earth: Mangrove Rehabilitation’ dan ‘CIAC-Pulau Tuba Community: International Enjoyable English’ anjuran Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa(CIAC) di Pulau Tuba selama tiga hari, baru-baru ini.
Program ‘CIAC-Restore The Earth: Mangrove Rehabilitation’ melibatkan aktiviti tanaman pokok paya bakau di Hutan Simpan Kekal Dayang Bunting di mana pelajar dapat merasai pengalaman menanam pokok paya bakau.
Pelajar dari Perancis, Brocher Eloise berasa teruja dapat menyertai program mobiliti kali ini dengan pendekatan ‘hands on’ kepada pelajar untuk turun padang sendiri melihat proses tanaman pokok bakau.
Tanaman pokok bakau di tebing sungai, muara dan di sepanjang pesisir pantai adalah bagi mengurangkan hakisan pantai akibat ombak dan fenomena air pasang besar dan dapat mengurangkan banjir risiko runtuhan tebing pantai.
Keesokannya, pelajar mengikuti program ‘CIAC-Pulau Tuba Community: International Enjoyable English’ di Sekolah Kebangsaan Selat Bagan Nyior (SKSBN).
Pelajar antarabangsa dan pelajar mobiliti telah bergabung tenaga mengendalikan sesi pembelajaran kelas Bahasa Inggeris dengan kaedah pembelajaran yang interaktif dan menarik, manakala sebahagian pelajar antarabangsa lagi telibat dalam program gotong-royong tanaman pokok dan aktiviti mengecat sekolah.
Timbalan Pengarah CIAC, Mohd Khairy Mukhtaruddin berkata, beliau berharap program sebegini dapat diteruskan lagi pada semester akan datang supaya dapat membantu ekosistem dan pada masa sama dapat menarik pelancong terutamanya ke Pulau Tuba yang memerlukan lebih banyak program-program khidmat masyarakat.
“Insya-Allah, pada masa akan datang, CIAC akan bekerjasama dengan pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan juga UKM Research Centre yang telah menyatakan persetujuan mereka untuk terlibat dalam program pemuliharaan alam sekitar ini,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SKSBN, Pawzi Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada pihak UUM kerana melaksanakan program berkenaan yang pastinya akan meninggalkan kesan mendalam kepada anak-anak kecil yang tinggal di asrama SKSBN ini.
Tambahnya, teruskan usaha murni ini pada masa hadapan demi anak bangsa dan pihak sekolah amat berterima kasih kepada UUM kerana telah banyak membantu memberi keceriaan sekolah dan pelajar mereka.