PULAU PINANG, 26 November 2024: Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Refleksi Pencapaian 2024 pada 22 hingga 24 November lalu di Flamingo Hotel by the Beach.
Bengkel ini bertujuan menilai pencapaian CIAC setakat suku ketiga tahun 2024 serta merangka pelan tindakan bagi memperkukuh agenda pengantarabangsaan UUM pada tahun 2025.
Dalam sesi pembentangan hala tuju CIAC untuk tahun 2025, Pengarah CIAC, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar menyeru semua staf CIAC untuk berganding bahu dalam menyokong agenda pengantarabangsaan universiti. Beliau menekankan kepentingan usaha kolektif dalam meningkatkan keterlihatan dan reputasi UUM di peringkat global.
“Setiap individu di CIAC, tidak kira pangkat, memainkan peranan penting dalam memastikan UUM terus dikenali sebagai sebuah universiti bertaraf dunia.
“Dengan dedikasi dan sinergi antara kita, saya yakin kita mampu mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun 2025,” katanya.
Bengkel ini turut menyaksikan setiap unit di bawah CIAC iaitu Unit Hubungan Antarabangsa dan Promosi, Unit Mobiliti dan Visa, serta Unit Pentadbiran dan Kewangan menjalankan penilaian terhadap kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Setiap unit mengenal pasti langkah penambahbaikan yang diperlukan untuk memperkukuh operasi dan keberkesanan aktiviti. Di samping itu, unit-unit ini turut merangka program serta aktiviti yang dirancang untuk tahun hadapan bagi menyokong matlamat strategik CIAC dan UUM.
Sesi perkongsian oleh staf CIAC menjadi salah satu sorotan utama bengkel ini. Setiap staf diberi peluang menyuarakan pandangan mereka terhadap pencapaian semasa dan menyampaikan harapan untuk masa depan CIAC. Selain itu, bengkel ini turut menyelitkan aktiviti senamrobik dan brisk walk bagi memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan staf.
CIAC turut mengiktiraf sumbangan staf dengan penganugerahan beberapa kategori seperti Ikon CIAC 2024, Kreatif dan Inovatif, Early Bird (staf dengan kehadiran paling awal di pejabat), dan Kehadiran 100%. Pn. Normiza Yahya, Pembantu Tadbir CIAC, dinobatkan sebagai Ikon CIAC 2024 berdasarkan penilaian terhadap kehadiran, jumlah cuti sakit, personaliti, disiplin, dan prestasi kerja.
Bengkel ini diakhiri dengan pembentangan montaj video yang menampilkan keseluruhan 38 program dan aktiviti CIAC dari Januari hingga November 2024. 38 program dan aktiviti tersebut merangkumi elemen pengukuhan hubungan dengan rakan kerjasama antarabangsa, meraikan pelajar antarabangsa, khidmat masyarakat, kelestarian, pemantapan kemahiran individu dan semangat berpasukan, pengukuhan, pembudayaan gaya hidup sihat dan lain-lain.
Bengkel ini bukan sahaja menjadi medan refleksi pencapaian lepas, tetapi juga pemangkin kepada semangat baharu untuk CIAC melangkah dengan lebih yakin pada tahun 2025. Dengan kesatuan tenaga dan dedikasi seluruh warga CIAC, adalah diharapkan agar pusat ini terus menjadi pemacu utama dalam menjayakan agenda pengantarabangsaan UUM, sekaligus melonjakkan nama universiti di persada dunia. – Mohd Azri Abdul Aziz